Ilmu Mengarang Melayu

August 30th, 2010 by admin

ILMU MENGARANG MELAYU merupakan salah satu karya agung yang dihasilkan oleh Za’ba. Buku ini mula diterbitkan dalam versi Jawi pada tahun 1934 dan dicetak semula sebanyak enam kali sehingga tahun 1956. Cetakan kedua yang dibaiki dan dipinda pula diterbitkan dalam versi Rumi pada tahun 1962. Dalam penerbitan edisi baharu pada tahun 2002, buku ini diberi wajah baharu dari segi penggunaan ejaan masa kini tetapi masih mengekalkan identiti dan struktur gaya bahasa yang digunakan oleh penulis asal.

ILMU MENGARANG MELAYU adalah gagasan pemikiran bahasa hasil tulisan Za’ba yang mengandungi panduan dan pengajaran kepada pengguna untuk menghasilkan karangan yang baik berasaskan pengetahuan Bahasa Melayu, tatabahasa, nahu dan sebagainya. Kebijaksanaan Za’ba menghubungjalinkan bahasa dan pemikiran menjadikan karya ini lebih berkesan, menarik dan mudah difahami terutamanya dari segi mesej yang hendak disampaikan kepada pembaca.

Kandungan buku ini ialah mengenai peraturan untuk karang-mengarang. Buku ini mengandungi dua bahagian utama, iaitu Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang dan Cabang-cabang yang Tinggi. Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang memuatkan perkara-perkara yang perlu diketahui oleh pengarang untuk menghasilkan karangan seperti bahan-bahan penting dalam karangan, iaitu bahasa dan fikiran. Cabang-cabang yang Tinggi pula menggarap tentang keupayaan seseorang pengarang menggunakan beberapa elemen bahasa dalam karangan seperti bunga-bunga bahasa, peribahasa, bahasa sindiran dan sebagainya.

Buku ini amat berguna kepada ahli-ahli bahasa, pengkaji, pendidik serta pelajar yang ingin mengetahui tentang selok-belok menghasilkan karangan yang baik melalui penggunaan bahasa yang betul, sistematik dan menarik. Buku ini juga menjadi rujukan yang berguna untuk mengkaji keagungan nahu bahasa Melayu sejak zaman 40-an hingga kini.

Hello world!

August 30th, 2010 by admin

Welcome to eSastera. This is your first post. Edit or delete it, then start blogging!